Thursday, December 30, 2010

Nasihat Dan Amanat.

Matamu kian kabur
Membatas pandangan
Tapi tidak mengapa katamu
Puas sudah melihat dunia
Tak lama lagi kan ku pejam mata

Kulitmu berkedut seribu
Dek kerana dimamah waktu
Tidak kau peduli di bakar mentari
Katamu ini hanya duniawi
Di sana belum pasti

Termenungmu dalam merenung
Berfikirmu di luar terowong
Kata-katamu separa hikayat
Perilakumu penuh berkat
Senyummu manis
Walau hatimu disiat

Lalu kau ucap-kan kata hikmat
Dengarlah kataku penuh taat
Bangunkan bangsamu sebelum terlewat
Tunjukkan jalan pada yang tersesat
Pimpinlah tangan genggaman erat
Jangan ada yang terjatuh dan melarat

Sepotong katamu
Kujadikan amanat
Semoga selamat
Dunia akhirat

Nasihatmu peguat semangat.

Wednesday, December 29, 2010

Seringkali.


Seringkali di lewat malam
Aku bersendiri
Merenung merungkai bintang di awan
Sedang waktu semua diambang mimpi
Mungkin menyesali apa yang berlaku
Mungkin terkilan dengan sesuatu tanpa inti
Mungkin dek kerana celaru
Mungkin juga kerana rindu di hati

Ingin sekali melelap mata
Namun kelopaknya seakan terhalang
Hati berdebar tidak mengerti
Jiwa bergelodak tidak berhenti
Timbul cemburu melihat yang lain
Tenang dan nyenyak di bilik asing
Yang tinggal hanyalah aku sendiri
Bersulam bunyian unggas dibalik dinding

Kenapa aku tidak seperti yang lain?
Jenuh dirundung apa yang ku tak ingin
Hingga lena sering terganggu
Terjaga walau hanya disapa dingin
Tenanglah jiwa damai tiada runsing
Ikut haluan menyusur bumi
Aku tidak ingin berpaling lagi
Sama seperti yang pernah terjadi.

Monday, December 27, 2010

Ralat.


Ralat
Aku tak biasa dengan ralat
Belum sempat terhenti penat
Hingga terasa diri diperalat
Semakin hari semakin berat

Ralat
Meronta batin diri terjerat
Hingga yang lancar bertukar pelat
Habiskan semua biar tamat
Aku tenat kerana ralat

Ralat
Bagai bangkai dihurung lalat
Ketika ini disetiap saat
Mata hatiku tak mampu melihat
Memikirkan perkara tersirat

Benar
Aku benar-benar ralat.

Menanti Waktu.


Subuh itu
Subuh terakhirnya
Menyedut udara
Menghela nafas
Kali akhirnya
Tiada aku menyangka
Mereka juga tak menduga
Roh dan jasadmu
Tidak lagi bersama...

Tiba waktumu kini di pusara
Aku terima ini akhirnya
Terkota sudah janji yg terikat
Terlaksana juga lafaz yg dimeterai
Janji sejak azalimu lagi
Tanpa tali ia terikat
Takkan terlewat
Walau sesaat...

Walau kalbu tercoret kekesalan
Terpalit seribu kesedihan
Aku akur dengan suratan
Walau jarak menyengkang
Waktu menghalang
Untukku menatap
Wajah mulusmu
Mengucup dahimu
Dengan kucupan kasih yang satu...

Biar perit namunku redha
Tangisku dalam senyuman
Pemergianmu aku relakan
Semoga kau sentiasa aman
Ketenangan menemani perjalanan
Secoret namamu
Mengukir kenangan
Pergimu dalam iman...

Hanya yang mampu
Aku lakukan
Sejambak doa semekar mawar
Aku kirimkan

Juga

Salam perpisahan
Selembut baldu
Aku hulurkan

Dari cucumu
Yang menanti waktu.

PUREVIBRACION - LOVE



Me Not A Good Man Better Man For You Girl,
Mi Sorry For The Wrong That I Done To You Girl,
All That You Been Hurting,
Mi Always Make Sad, Make Mad,
All The Promise That Mi Made, That Mi Break,
In This Kind Of Situation,

When You Need A Full Attention,
Mi Always Cant Be There, Cant Be There,
Dont Mean Dont Care,
Mi Got Full Of Thing On Mind That Mi Want To Clarify,
Mi Fell Your Loneliness…

If I Dont Care For You…
Then Why You Have Ma Love…
I Do Care For You…

And I Know, I Do Care…
Yes I Know, I Do Care…

Saturday, December 25, 2010

Ekspresionisme.

Aku bukan menghilang
Sekadar berundur memberi ruang
Kerana jika masih berhadap
Belum tentu wajahku kau pandang

Aku bukan memula perang
Hanya berdiam takkan menyerang
Kerana jelas di pandanganku
Kamu bukan musuh untukku tentang

Seharusnya kau sedar kenapa begini
Sudahnya kerana sikapmu sendiri
Kau tahu bagaimana aku
Tapi pernah kau peduli bilaku di sisi?

Tak usah bermusuh menanam benci
Tak usah dipersoal setia dijanji
Kau tak pernah tahu apa ku rasa
Tapi tak sekali aku menunding jari

Simpan saja puisi mu selamanya
Kerana telah ku jelajah ku baca
Aku terima semua cacian
Aku mahkotakan sebagai cendera mata

Aku cuma mahu jadi kuat tanpa kamu
Mengharung hidup sendiri biar jemu
Fahamilah apa yang ku rasa
Aku akui tidak layak aku disampingmu

Kau serba sempurna
Aku pula serba hina
Kerana itu
Di matamu aku tiada
Dan yang baru lebih berharga.

Friday, December 24, 2010

Perjalananku.


Saat ini aku sedang meniti
Laluan sempit berdinding duri
Rapat mendekati tubuh lesi
Dan setiap langkahku
Tubuhku ditacap duri-duri beribu
Sakit tak terucap kata
Jeritan di kalbu cuma

Aku tidak pasti
Sejauh mana harus ku harungi
Laluan berdinding duri
Yang menagih titisan darah
Melumat daging merah
Menambah esak dalam lelah
Mengait semangat mencipta rebah

Semoga aku tiba di penghujungnya
Dengan nafas masih dihela
Dan ada yg membantu
Mengubati luka yang beribu
Aku bukan eskapisme
Bisa lari ke dunia khayalan
Benar aku perlu satu kekuatan

Aku tidak mampu mencipta epigram
Mahu pun selembar etiologi
Yang terlahir hanya elegi
Epilog perjalanan yang suram
Seperti sendiri di jurang yang dalam
Harapanku ada yang datang
Memberi kekuatan mendakap tenang

Mohon ada yang datang
Walau bukan sekarang.

Thursday, December 23, 2010

Rasa Yang Telah Mati.


Aku pernah merungkai rasa
Perasaan yang setiap insan ada
Mencari hala tuju dan pendamping
Menyubur gurun hati yang kering
Bila tiba suatu masa
Plot cerita tidak lagi seperti yang kupinta

Rasa yang dulu menyegar
Aku jaga biar damai dan tenang
Tapi akhirnya semakin pudar
Diterik ego berhadapan lantas mati
Rasa yang dulu kemas di hati
Kini sudah tiada lagi

Sengaja aku biarkan semuanya pergi
Kerana rasa dan hati ini telah mati.

Thursday, December 16, 2010

Mengira Buruj Di Langit.


Bila sendirian
Aku hamparkan perasaan
Di bawah kerdip sinar bintang alam
Mengharap jiwa tenteram
Bermonolog bercerita kisah suram
Hanya aku yang paham

Aku senang cara begini
Bukan senang mencipta indah
Apa yang ku terima harus pasrah
Hadapi dengan hati yang tabah
Bila sepuasnya mencuba aku berserah
Setelah penat cuba meredah;menadah

Apa lagi mampu ku lakukan
Tiada apa
Sekadar memandang dalam kelam
Mengira buruj di langit malam.

Tuesday, December 14, 2010

Meninggalkan Dan Ditinggalkan.


Kau dan aku
Walau banyak persamaan
Masih tetap berbeza
Tetap tidak akan jadi sempurna
Kadang terlupa guna akal dan minda
Lalai merasa detak hati serupa
Meraja ego di dada
Mengagung bertongkat jari berpada
Sesalan di belakang hari seperti tiada
Sedangkan akhirnya semua sengsara
Aku sedar tapi hanya berteleku
Dicampak hina jauh dari sisimu
Aku hanya buntu dan membatu
Sukarkah untuk kau fikirkan?
Kalau engkau juga punya perasaan
Aku tidak akan pernah
Mencuba untuk meninggalkan
Kerana aku tahu
Betapa peritnya bila ditinggalkan
Beza kita jelas bermain di perasaan.

Monday, December 13, 2010

Di Hujung Jalan.


Kalau aku mampu
Mengubah titik fokus dalam pandangan
Menghapus giliran kenangan dalam ingatan
Aku mungkin mampu kembali
Menerima putaran alam seperti asalnya

Terserlah dipandangan kasarku
Jadi yang lesu lain dari fitrahku
Aku bukan lagi aku
Perubahan rencana dalam kehidupan
Hasil kecelaruan dalam minda separuh sedar

Aku mampu berlagak riang
Kerana tidak mahu merasa kesan kecundang
Sehingga di satu titik
Aku keliru dengan tindakan
Buntu membuat keputusan

Temukan aku dengan cabang pilihan
Aku sudah di hujung jalan.

Saturday, December 11, 2010

Memberi Dan Menerima.

Resah kau jelas tergambar
Dari sudut pandang anak mata
Biar kadang terleka dari memerhati
Aku kenal kau dari hati
Aku tahu pandangan kosongmu
Aku kenal senyum ciptaanmu

Sudahlah bermuram durja teman
Cukuplah bermasam muka kawan
Biar hilang ditiup angin
Bagai terbangnya pasir di sahara
Tabahlah dalam segalanya
Bagai batu di aliran lata

Aku pernah melaluinya
Dan kita laluinya bersama
Aku juga pernah merasa hambarnya
Kosong tanpa rasa
Dan tiba waktu untukmu
Merasai kadar yang lebih dari itu

Aku hanya cuba mengingatkan
Semuanya bisa terjadi tanpa peringatan
Aku hanya mampu berkata saat berjaga
Juga sementara hayat masih ada
Bila kau sering kali MEMBERI
Seharusnya kau juga tabah MENERIMA.

Wednesday, December 8, 2010

Cengkerang Tanpa Permata.


Aku yang mencipta badai
Onar yang bergolak dan berombak
Sehingga membawa permata ku jauh
Pergi ke lautan mana tidak ku pasti
Akhirnya hanya tinggal cengkerang usang
Tanpa permata yang menyeri
Permata yang tiada galang ganti

Akulah cengkerang itu
Terbiar sepi tanpa seri
Kerana badai yang ku cipta sendiri
Teruslah aku tangisi
Maafkan aku permata sari
Mungkin di lautan lain
Kau akan bertemu
Cengkerang yang lebih murni.

Tuesday, December 7, 2010

Bintang Di Balik Awan.


Aku seperti bintang di balik awan
Zahirnya ada tapi tak kelihatan
Di sini ku teguh berdiri
Tapi hadirku tak disedari
Di sini aku tidak diperlukan
Aku bukan penyeri di pandangan
Atau pilihan berada di pelukan
Biarlah akhirnya di sini
Puas sudah mencuba mempertahankan
Aku tidak pernah punya kesempatan

Aku tak mahu menulis lagi
Aku jemu dengan isi hati sendiri
Mungkin ini jadi yang terakhir
Berharap perasaanku akan berakhir
Pasti tiada lagi gangguan
Dan kau akan ditemani ketenangan
Aku yakin itu yang kau idamkan
Seluas alam ruang untukmu aku beri
Pergilah ke mana kau mahu berlari

Aku masih ditempat aku ditinggalkan
Seperti bintang di balik awan
Sekadar melihat dari kejauhan
Sambil memendam perasan
Aku harus berjauhan
Bersama sayang yang diukirkan
Berpaut teguh melilit perasaan
Juga janji dan harapan
Yang pernah kau janjikan.

Sudirman - Jauh Disudut Hati


sayang..
biarku mengingatimu
biarku gantung harapan
hingga sampai waktu
nafas terakhirku.

Thursday, December 2, 2010

Nanti Kau Di Sana.


Lidahku terasa hambar
Langsung tiada rasa
Berikanku jerangau terpilih
Untukku jadikan penawar
Tatkala bersidang sendiri di jerambah
Sambil dititik gerimis malam
Yang tumpah ke bumi
Seiring air mataku yang menitis

Aku capai kandil berdian
Aku letakkan di sisi
Berharap terang menemani
Sambil berbaring di lantai kusam
Sekusam perasaan saat ini
Cuba untuk lelapkan mata
Dan menghajatkan mimpi
Tempatku tinggalkan resah dalam indah

Sebelum lena menyapa
Aku nekadkan seluruh jiwa
Sambil meniup dian yg menyala
Biar gelita
Aku hanya mampu berjanji setia
Kalau harus ku layarkan bahtera
Seyogianya kau ku bawa
Jika tidak sekarang masanya
Aku tetap nanti kau di sana.

Tali Harapan Lelayang Angan.


Putuskan saja tali harapan
Yang terikat kemas
Di lelayang angan ini
Yang tinggi di awangan
Biar lelayang itu hilang
Dibadai angin waktu
Biar lenyap berlalu
Dari ku terus biarkan
Lelayang itu tanpa hujungnya
Tanpa akhirnya di situ
Di awan tinggi membiru

Aku rela keduanya hilang
Dikeronyok ribut
Dan dijadikan kudapan nista bisu
Dari terus terawang tanpa tuju
Aku?
Pejamkan saja mataku.

Tuesday, November 30, 2010

Semakin Jauh.


Bila laluan seolah terhalang
Berdinding penghadang
Bagai menghentikan derap langkah
Aku berhenti dan berfikir sejenak
Haruskah aku rempuh saja dinding itu?
Atau berpaling dan berundur pergi?
Cari saja jalan lain
Yang pastinya haluannya berbeza
Dan dugaan yang tentu tidak sama

Sudahlah memujuk diri
Berfikir dan menyendiri
Cipta saja laluan baru
Yang tiada berhalangan
Menuju kepada yang memerlukan

Bawa diri pergi jauh
Biar hilang dari pandangan
Tinggalkan jauh
Biar lupa dari ingatan
Kita semakin jauh
Dan memang itu yang kau inginkan
Sekarang aku berikan.

Dalam.


Pandanglah sedalamnya
Renungkan dengan makna
Hatimu diam tak berbisik
Telingamu harap suara gemersik
Hendakmu yang sekadarnya saja
Pertunjukkanmu dalam kelam berbalam
Bahasamu dalam ruang kedap suara
Nyatakanlah pengharapanmu
Jangan hanya bermonolog di ruang kalbu
Hanya kau yang tahu
Dan yang lain membatu
Aku di sini juga sama
Berperang dalam jiwa
Melayan ribut dalam gelora
Jelas jiwa kita serupa
Hanya sisa alirannya berbeza.

Monday, November 29, 2010

Daerah Sunyi Berkunci.


Benar aku berada di luar
Daerah yang dipagari dan berkunci
Tempat kau melarikan diri
Bersama hati yang kau curi

Aku di pinggir daerah sunyi
Terus menanti
Mungkinkah pagarnya yang berjeriji
Akan terbuka sendiri?
Atau penghuninya terus berdiam diri?

Aku tak pasti
Tapi aku akan terus berdiri
Berdiri di pinggir daerah ini
Terima saja apa yang terjadi.

Sunday, November 28, 2010

Kisah Anak Rantau.


Kasihan si anak rantau
Merayu secebis belas simpati
Tidak langsung didengari
Berantakan merebut hak sendiri
Menuntut janji yang mereka mungkiri

Kisah si anak rantau
Kadang terasa menjadi mangsa
Bergelut untuk pulang ke asalnya
Merintih nasib memujuk hati
Nyatanya ditindas merana diri

Kasih si anak rantau
Luas terbentang tiada bertepi
Namun sayang semua tak menjadi
Bagai awan berarak pergi
Jalinan sementara kembali sepi

Keraskan hatimu si anak rantau
Dugaan pasti tiada henti
Detik berjalan tidak menanti
Walau terasing di pulau sendiri
Teruslah bergerak di bumi Ilahi.

Thursday, November 25, 2010

Masih Di Sini.


Aku masih di sini
Di mana kau tinggalkan
Bersama janji dan harapan
Dan tak pernah sekali
Aku beredar dan berlalu
Dari tempat aku dibiarkan

Aku masih di sini
Sekadar menguatkan perasaan
Mengutuhkan jiwa dan ketenangan
Dan tak pernah sekali
Aku berpaling dan pergi
Dari tempat aku diasingkan

Aku masih di sini
Selama aku mampu
Untuk berada di sini
Bersisikan rindu
Berdampingkan sepi.

Wednesday, November 24, 2010

MLTR-That's Why (You Go Away)


I'm not the man your heart is missing
That's why you go away
I know.

Jihad.


Aku lihat di sana
Peluru mortar bersimpang-siur
Menghempas memecah dinding kota
Bangunan kebanggaan dan kediaman
Ambulans yang kadang tiba kadang hilang
Membawa jasad syahid di medan perang
Yang hanya bersenjata batu dan kayu
Itu yang mereka termampu
Hanya itu yang mereka mampu!

Susuk kecil si anak-anak
Berlari bertempiaran di kabut debu
Asap dan api dari tanah yang hancur
Mencari ibunya yang tersungkur
Juga saudara yang hilang entah ke mana
Ada juga lesu dan tidak bernyawa
Esak tangis mereka sesayup suara
Air mata menitis tiada henti
Nyawa bagai murah tidak bererti

Zionis itu tersenyum bangga
Kemusnahan terlaksana bagai direncana
Umat Islam terdera terseksa
Dizalimi tanpa henti dan dicerca
Mudahnya mereka merebut harta
Yang ternyata bukan milik mereka!
Nyawa itu sekadar dihujung jari cuma
Rebahnya pejuang agama ditertawa mereka
Itu kerja si zionis durjana!

Sampai bila mahu kita biarkan?!
Sehingga derita hanyut ditelan zaman?
Tak mungkin si celaka berpuas hati
Mahunya kita semua binasa itu pasti
Kibarkan bendera dan panji!
Biar bergalang nyawa relaku mati
Genggam jemari takbir bergema
Angkat senjata pertahankan agama
Dari zionis petualang celaka!


Tuesday, November 23, 2010

Mata Indah 2.0


Mata yang dulu bercahaya
Aku masih rasa sinarnya
Seperti berkat nama empunya
Takkan pernah gerhana
Takkan pernah gelita
Dan serinya aku tidak pernah curiga
Biar tidak bertentang mata

Aku tak pernah berhenti mendamba
Kerdipan cahaya dari matanya
Bersulamkan senyum dari bibirnya
Dari si empunya pesona
Seperti saat pertama kalinya
Katalah apa saja
Aku setia walau jodohku tiada.

Lembah Dan Puncak.


"Tertunduk sepi di lembah rohani
Bertemu diri di puncak insani"

The Beatles | Yesterday


Why she had to go?
I don't know..She wouldn't say
I said something wrong
Now I long for yesterday

Yesterday love was such an easy game to play
Now I need a place to hide away
Oh. I believe in yesterday

Telah Ku Susun Rapi.


Semuanya aku telah selesaikan
Dan aku susun rapi
Aku kemas seperti asal
Pantas jemari akal
Mengutip kenangan yang lama dicicirkan
Sengaja dicicirkan
Kembalikan ia ditempatnya
Dari mana datangnya

Semuanya aku telah lakukan
Dan aku ikhlaskan
Aku lega ianya berakhir
Walau berkaca bergenang mataku berair
Bukan sengaja tetap mengalir
Kesatkan titisan terakhir
Saat berdoa pada Nya
Aku hanya memohon pada Nya

Semuanya pasti berakhir
Dan nafas pun pasti terhenti
Aku yakin putaran tidak menanti
Mengharap permudah urusan doa di hati
Bila sampai masa aku mati
Aku pasti pergi
Takkan aku menyusahkan lagi
Kerana semuanya telah ku susun rapi.

Monday, November 22, 2010

Sunyi.


Sunyi
Tatkala unggas tak lagi berkicau
Guruh tak lagi berbunyi
Tak ada siapa yang hirau
Gelak tawa semakin menyepi
Memang jelas hidup itu sunyi

Sunyi
Kadang buat aku berfikir
Kadang buat aku tersisih
Langsung hilang seri
Sastera jadi tak berseni
Memang sukar hidup berteman sunyi.

Aku benci.

Nikmat.


Bila dada masih berombak
Menghela tiap titip nafas
Bila mata masih berkedipan
Menatap ruang indah dunia
Itu nikmat hidup paling nyata
Masih bernyawa
Syukuri nikmat dari-Nya.

Sunday, November 21, 2010

Mata Indah.


Mata indah itu
Mata yang pernah
Buatku terpaku
Seindah mentari pagi
Secemerlang bulan di balik mega

Mata indah itu
Mata yang pernah bersatu
Buatku rindu
Secantik empunya mata
Semulus lembut jiwanya

Telah lama aku kabur
Ke mana pergi mata itu
Hilang ditiup angin?
Atau sengaja membawa diri?
Hanya tuannya yang mengerti

Ya kerana mata itu
Aku masih di sini
Bermimpi akannya
Berdoa untuknya
Tak mampu menangkis rindu
Yang dipahat olehnya

Walau aku tahu
Mata itu tidak lagi
Sanggup memandangku.

Saturday, November 20, 2010

Putaran Kehidupan.


Kehidupan dan alam
Yang sentiasa berputar
Yang tinggi beralih rendah
Yang datang sentiasa beredar
Yang mekar bertukar pudar

Jangan pernah tegar
Untuk berasa selamat
Sentiasa terlepas dari hukuman
Sedarlah insan
Hidup ini sentiasa berputar
Tidak pernah sedetik terhenti

Apa yang kita lakukan
Pasti datang kembali
Aku hanya cuba insafi
Supaya tidak hanyut
Akhir memakan diri.

Imaginasi Dalam Ilusi.


Adakah yang mampu membawaku
Melihat dunia indah seperti dulu?
Juga melihat dunia seperti mahuku?

Lihat
Diam
Rasa
Hayati
Mengerti
Fahami

Atau sekadar membawaku
Ke satu alam yang
Dia sendiri tak tahu?

Jelasnya tiada konklusi
Hanya imaginasi dalam ilusi.

Friday, November 19, 2010

Senyumlah Kapitalis.


Berulang kali
Aku dengari
Madah pedas bercili
Panas sejuk dalam berseni
Tetapi aku tetap lupa
Sering alpa juga terleka

Tanah ini tanah kita
Tempat santun budi
Si bangsa berpekerti
Melayar satu ikatan
Sambil berseloka
Tentang merdeka

Tapi bukan aku saja
Yang lupa dan leka
Melihat dan memerhati
Berfikir dan berhati-hati
Lantaran gelojoh;tamak
Dan lupa diri
Kita akhirnya dihimpit
Sang kapitalis
Dari bangsaku sendiri

Inikah erti merdeka?
Merdekaku dalam penjara
Lepasku dalam tertindas
Walau tak terlihat di mata
Tetapi meracun jiwa
Melingkari adrenalin
Tersenyum pabila malam
Dan akhirnya
Membunuh dalam diam

Buka kembali gobok ingatan
Baca kembali kata coretan
Apa erti merdeka
Apa erti sengsara
Kerana ini bisa
Menyedarkan kau
Kerana dulu pantang berundur
Langkah dulu langkah menggempur
Sekarang melangkah terbuka dada
Langkah tersenyum si perosak bangsa

Kau anjing pengkhianat
Kapitalis pemusnah
Menikam jiwa manusia sebangsa
Kau lupa pada hukum dunia
Nantikan saja
Kau pasti
Dihina;dimaki
Dicerca;dicaci
Oleh bangsamu sendiri!.

Penyulam Perasaan.


Kutatap semua lukisan
Kuperhalusi tiap anyaman
Kucoretkan satu nukilan
Kunyanyikan dengan perasaan
Semuanya tenang dan mendamaikan

Setiap saat denganmu itu indah
Setiap kata dari bibirmu buatku rebah
Setiap denyut jantungku bersulam namamu
Setiap jelinganmu nyataku kaku

Kita nantikan saja takdirNya
Setelah sepuasnya mencuba
Sabarku menanti penghujung cerita
Bersatu atau tidak harusku terima

Kurebahkan kepalaku dipangkuanmu
Terasa akan perasaan yang kuat menyatu
Walau tidak diucap kita tetap tahu
Saling menerima kasih yang bertamu

Kau lakarkan sekuntum senyuman
Lantas mengeratkan satu hubungan
Mencipta satu keindahan
Menyulam satu perasaan

Dan kuharapkan

Kau menjadi seindah lukisan
Sehalus anyaman
Semurni nukilan
Semerdu nyanyian
Sentiasa tenang dan mendamaikan.

Engkau si penyulam perasaan.

Ungu - Cinta Dalam Hati


ku ingin kau tahu
diriku di sini menanti dirimu
meski ku tunggu hingga hujung waktuku
dan berharap
rasa ini kan abadi untuk selamanya.

Hanya Kamu.


Buatlah apa kau mahu
Katalah apa tersirat dihati
Biar jasadku hancur ditikam
Jiwaku luluh tak terlihat
Benar tak pernahku membenci
Kau tetap yang terbaik
Pernah aku miliki

Letaklah seribu teman disisiku
Hamparkan seribu keindahan didepanku
Mahupun pelangi seribu warna dijendelaku
Fahamilah aku
Aku tetap mahu kamu.
Hanya kamu.

Berikanku Waktu.


Berikan aku waktu
Untuk aku lunaskan semua
Berikan aku waktu
Untuk aku buktikan segala
Aku hanya ingin waktu
Agar dapatku perbaiki semula
Hanya waktu yang aku mahu
Supaya dapat kuulit bahagia
Itu mahu ku;waktu dari kamu.

Aku Tahu Kau Tahu.


Benar mereka lihatku tertawa
Sungguh mereka lihatku bahagia
Tapi sendu dan piluku
Aku yakin kau tahu
Aku tahu kau tahu!

Dan yang pasti Dia lebih tahu
Senyum ku hiba
Bersulam derita
Aku pasti
kau tahu kenapa.

Thursday, November 18, 2010

Mengharap Indah.


Meruntun hati sayu meratap
Tatkala kenangan pudar ditatap
Gambar ditenung dalam mengharap
Pandangan kosong duniaku gelap.

Ya ALLAH
Hanya kau sebaik-baik wakil
Dalam setiap perkara
Sesungguhnya tiada upayaku
Selain hanya denganMu

Aku hanya mampu berdoa
Agar dipermudahkan segala
Diperlembut hatinya
Diperkuatkan empunya jiwa

Kudratku seakan goyah
Melangkah tanpa arah
Aku hanya berserah
Ya masih harap yang indah.

Tetap Tunggu.


Aku hanya insan
Yang tegar menggenggam angan
Mengharap pulang sayang
Lakarkan penuh harapan
Walau hanya pada angin lalu
Sekali datang dan terus berlalu

Aku hanya insan
Yang tegar menjadi penunggu
Keramat perasaan dalam jiwa
Biar luluh jasad dimamah waktu
Hingga maut menjadi tamu
Aku pasti akan tunggu

Tetap menunggu.

Wednesday, November 17, 2010

Hati Seorang Insan.


Kelam malam yang hitam pekat
Kian beransur cerah
Menghampiri subuh penuh berkat
Memulakan hari penuh nikmat dan hikmat
Tapi aku masih termangu
Sedikit pun tidak layu
Seminit pun mataku tidak terlelap
Membuatku terfikir di manakah silap.

Adakah aku diluar kebiasaan
Menongkah arus hidup seorang insan
Cuba menari tanpa rentak
Di atas petak lantai yang retak
Cuba berpura gagah seakan badang
Sedangkan hanya bertongkatkan lalang
Sungguh aku hanya insan yang lemah
Adakah paksi yang kukuh untukku bertapak
Tatkala emosi dan peganganku
Mula goyah menanti rebah.

Puas sudah ku amati
Mencari dimanakah kekurangan
Atau kekosongan
Rupanya di ruang hati
Yang nyata tidak lagi terisi
Dengan ilmu dan amal kepada Ilahi
Dengan zikir menyebut
Yang Maha Agung dan Maha Suci
Dan leka dari sujud
Serta doa dan kemaafan pembersih nurani.

Dan kulihat cerahnya hari
Mentari pagi mulai meninggi
Seakan ianya satu senyuman
Yang sentiasa memberikan pengharapan
Kepada manusia yang penuh kekhilafan
Dalam meneruskan sebuah coretan
Tentang kehidupan dan pengalaman
Makhluk ciptaan-Nya yang bergelar insan.

Bukan Tempatku.


Seribu satu cerita

Seribu satu rasa

Seribu satu kejadian

Seribu satu kenangan


Dan kulihat ke kaki langit

Selembar harapan senja

Yang semakin tua dan menunduk

Semakin hampir ke saat perginya

Sebelum sempat aku

Mendakap indahnya.


Permulaanku di penghujung

Yang pasti membuat aku bingung

Menyelubungi minda warasku

Melingkari jiwa sepiku

Lantas mengikat tertib lidahku

Akhir menjadi kelu.


Tak perlu lagi difikirkan

Kan ku tinggalkan saja

Seribu cinta di rimbun kenangan

Dan menggapai harumnya ketenangan

Berlalu seperti cahaya senja

Yang kian kelam ditelan malam


Telah kutitipkan di lembaran usia

Tentang cita dan cinta si manusia

Sebelum meneruskan perjalanan

Yang masih jauh beribu batu

Penuh halangan dan berliku

Kerana bukan di sini tempatku.